#2 Fikir



Dalam institusi pendidikan seharusnya yang menjadi matlamat adalah pemerolehan ilmu dan penerapan pengetahuan. malangnya hari ini kita lihat, institusi pendidikan menjadi tempat untuk membentuk jurang kasta masyarakat. kita berlumba-lumba untuk mencapai kecemerlangan bertujuan untuk dipertanding sama yang lain dan meletakkan diri kita di tempat tertinggi. sememangnya dalam pembangunan modal insan pendidikan dijadikan wahana untuk mewujudkan mobiliti sosial namun, yang menjadi persoalan sekarang ialah tentang ruang dan hak yang tidak sama rata yang diberikan kepada setiap lapisan masyarakat. perlumbaan yang berlaku antara pelajar adalah berbentuk materialis semata-mata. hari ini kita jadi gembira apabila ada dikalangan kelompok kita yang ketinggalan terus ke belakang.

persaingan gred, markah, tanpa disedari telah melenyapkan terus fungsi pendidikan untuk melahirkan golongan yang berilmu. kita tak pernah mahu belajar dari kesilapan dan kita tak pernah mahu mengambil iktibar dari kegagalan. kita lebih seronok membicarakan hal-hal remeh yang tak memberi apa-apa faedah pada diri sendiri mahupun masyarakat. ramai di antara kita dididik untuk menapak ke menara gading supaya mampu berfungsi kepada diri sendiri semata dan bukan masyarakat. sehingga hari ini kita menjadi bangsa yang tidak peduli.

jika di lihat pada tahun 60-an ekonomi Korea Selatan berada di tahap yang sama dengan Malaysia bahkan sebelumnya lebih keterbelakang. Namun sekarang kelihatannya mereka telah memecut laju dan akhirnya kita yang ditendang kebelakang. Sedangkan seperti yang kita tahu geografi Korea tidak banyak menyumbang kepada pendapatan negara berbanding kita. jika merasakan Korea terlalu jauh dengan kita, mungkin kita boleh buat perbandingan dengan Singapura. Bagaimana pecahan dari Persekutuan Tanah Melayu itu mampu untuk bergerak dengan sendiri dan mencapai taraf negara maju?

jangan kata bangsa Malaysia tak bagus. jangan kata kita ini begitu begini. cukup mencari masalah kita perlukan penyelesaian. bangsa Malaysia bagus cuma belum cukup bagus. kenapa? kerana mentaliti kita merasakan bahawa kita akan merdeka selama-lamanya dan kita tidak perlu tergesa-gesa. jangan kata kita tak bagus kerana kita telah lahirkan angkasawan negara, kita lahirkan jimmy choo pereka kasut terkenal dunia. kita ada Wong Hoy Cheong yang dijemput menyertai Vennice Biennale iaitu pameran seni yang membariskan artis terkenal dunia pada 2003. kita ada profesor di Oxford. kita ada Vinccent Tan pemilik Cardiff City yang berjaya masuk EPL sekarang walau berada di tangga bawah liga tapi seri dengan Manchester United dalam satu siri perlawanan. kita ada pasukan hoki remaja keempat terbaik dunia. kita ada harimau malaya! err.... kita ada ramai rakyat Malaysia yang telah berjaya membuktikan kehebatan dimata dunia. tidak lupa Allahyarham Ammar yang menjadi bualan kerana peribadinya yang mulia dan kita semua tahu bagaimana kisahnya menjadi perhatian ramai. jadi tiada masalah dengan bangsa kita dari sudut biologinya.

Jangan dituding jari terus kepada kerajaan atau pemimpin atau sesiapa. terusan menuding jari caci memaki tidak mampu menjadikan kita lebih baik pada hari ini atau masa depan. tak mungkin dan sangat mustahil. kita bicarakan tentang kepincangan struktur ekonomi dan masyarakat kita dan kemudian kita salahkan semua mereka di atas sehinggakan kita lupa sebuah masyarakat terbentuk daripada seorang individu iaitu diri kita sendiri. bagaimanakah kita memainkan peranan kita bagi memastikan masyarakat kita mengalami perubahan yang pesat. cukup sekadar tindakan perhimpunan beramai-ramai. melaung tentang keburukan dan kejahilan antara satu sama lain? mengapa tidak kita ini sendiri yang mendaki satu persatu tangga untuk berada di dalam sistem lalu menjadi jurutera yang mencipta sesuatu yang baru?

untuk berada dalam tingkat sosial tertentu kita punya alat mobiliti yang begitu jitu. sayangnya kita tidak pernah melihat ia sebagai alat untuk perubahan. kita lihat ia sekadar satu medium untuk mencapai kesenangan diri sendiri semata. alat itu adalah pendidikan. di sini aku tak mahu ceritakan tentang dasar dasar yang dirangka, dilaksana dan dicapai. aku sekadar mahu menyentuh tentang bagaimana kita sebagai seorang individu yang melalui proses pendidikan.

aku sendiri selama 4 tahun setengah dalam pengajian ijazah merasakan bahawa ke kelas itu sekadar untuk mendapatkan kedatangan, assignment itu untuk mendapat markah melalui cedokkan bahan di buku google dan exam untuk mendapatkan gred supaya cgpa tinggi dan dapat posting. sekadar itu pendidikan bagi aku tersangat cetek. aku rasa bukan aku sahaja begitu kan? atau lebih jauh fikirannya adalah untuk mencari pasangan bimbang berkerjaya nanti tak ada yang mahu. jodoh. aku malas cerita tentang itu.

menjadikan pendidikan sebagai alat mobiliti sosial secara materialis telah melahirkan guru yang ponteng sekolah, hakim yang tidak adil, doktor yang tidak bertanggungjawab, pegawai bank yang pecah amanah, dan semua menerima rasuah. mereka yang mempunyai ilmu dan pengetahuan mampu untuk bersikap lebih rasionalis. tindakan yang tidak bertanggungjawab seperti yang disebutkan sebelum ini adalah berpunca daripada ketidakupayaan seseorang itu berfikir secara rasional.

di institusi pendidikan tinggi, ketidakupayaan berfikiran secara rasional telah berjaya menghasilkan mahasiswa yang membawa pendamping ketika peperiksaan, meniru hasil tugasan orang lain bahkan yang paling aku tak faham apabila wujud segelintir yang menyerahkan tugasannya untuk ditiru oleh kawan atas dasar 'tolong' . teringat pada satu peristiwa ketika aku tingkatan empat. masa tu aku kena ambil peperiksaan sijil menengah agama (SMA) . Subjek SMA memerlukan aku menghafal. satu hari tu ada test hadis. aku tak hafal, kawan baik aku best student so aku harap nanti boleh la aku tiru dia. bila masa test tu aku tanya dia, langsung dia tak respon. kau kalau kawan kau buat macam tu apa rasa? mesti kau rasa kawan kau pentingkan diri kan? lepas ni memang kena gaduh, sentap. bila test dah habis kertas aku banyak kosong. lepas pada tu kawan aku cakap dia sebenarnya bukan tak nak tolong aku, tapi sampai bila dia boleh tolong aku? nanti masa exam betul aku tak boleh tanya dia. sejak tu aku tahu aku tak salah pilih kawan.

lain pulak bila aku dah sambung belajar sekarang ni. bila dalam kelas ada presentation bila kita utarakan soalan supaya pembentang dapat terangkan sesuatu topik lebih mendalam supaya kita lebih faham, kawan lain lebih faham, pembentang sendiri faham selalunya kita akan dikecam. kenapa? sebab pada peringkat ini kita rasakan persaingan dalam pembelajaran adalah tentang meninggalkan orang lain jatuh ke belakang. soalan yang diutarakan adalah bersifat untuk menjatuhkan atau mengenakan orang. akhirnya kita sudah terbiasa untuk menerima tanpa memperoses lalu maklumat itu akan hilang sehinggalah bila tiba musim peperiksaan kita akan menggali semula pembelajaran satu semester untuk dihadam dalam masa satu malam atau beberapa hari. setelah habis peperiksaan maka lenyap lah juga maklumat tersebut.

seolahnya kita boleh lebih menjimatkan masa dengan sekadar menghadirkan diri ke dewan peperiksaan tanpa perlu hadir ke kelas. mungkin satu hari nanti pendidikan kita akan jadi begini? kita sekadar menjadi robot yang menerima dan diprogramkan. sampai masa bila sudah terlalu kerap digunakan kita akan rosak lalu jahanam. macam komputer yang baru dibeli. motherboard dia rosak. walau cantik macam mana pun keadaan komputer tu dah tak berguna.

jadi apakah solusi untuk keadaan seperti ini? apakah  kita perlu terus menghantarkan surat surat terbuka kepada mereka yang berkenaan supaya sistem kita ini terus ditukar ganti. atau kita boleh wujudkan satu page facebook mahupun laman web untuk mendedahkan tentang kegagalan yang berlaku? atau kita sama-sama bersatu hati menjadi pahlawan-papan-kekunci? jawapan terbaik adalah tanya sama diri sendiri.

untuk mengubah sistem bukanlah dengan minta diubah tetapi dengan mengubah. ubah diri kita. mulakan dengan diri kita. sedikit demi sedikit sebarkan. perlahan demi perlahan masuklah dalam sistem tersebut. dan berubahlah. sudahlah kita membuang masa dengan hal-hal yang tidak sepatutnya.

di sini aku mahu merakamkan penghargaan dan tahniah terhadap usaha yang telah dilakukan oleh #TeachForTheNeeds #BukuJalanan #UniversitiTerbukaAnakMuda dan kolektif-kolektif lain yang bertindak sebagai third force dalam melakukan perubahan. walau apa yang mahu kita lakukan mulakan dengan diri sendiri kerana sebuah masyarakat bermula daripada seorang individu.

sudahlah menjadi suara yang menggegarkan jadilah tangan yang menggerakkan.



Comments

Popular posts from this blog

notepad, nota pelekat cinta kau 3

cerita aku

tanya