#NotaH17
Proses menghabiskan bacaan dua buah buku sekali gus. Risiko yang diambil untuk membenarkan pertembungan idealisme dari dua buah buku dengan latar yang berbeza.
Minda Tertawan vs La Tahzan, Terasing.
Sebagai orang yang meletakkan buku sebagai kekasih dan teman tidur aku akan bersikap obses pabila melakukan perkongsian perbincangan tentangnya. Membaca dua buah buku ini memerlukan masa yang lebih lama kerana pembacaan aku selalu terganggu dengan isu-isu yang diutarakan, perlu diulang baca dan dinilai sekali dua. Dalam tempoh seminggu dua ini juga sebuah lagi buku berjaya dihabiskan walau pembacaannya lebih lewat. Mungkin kerana bukunya, tipis dan isunya tidak terlalu payah. (Bukan Dari Jibril)
Sejarah pembacaan aku lebih lewat daripada mereka yang aku kagumi. Oleh kerana ini, maklumat yang aku ada teramat sedikit dan cetek.
Mula dengan bacaan buku cerita ketika usia 5 tahun, kemudian majalah hiburan seawal sekolah rendah secara sembunyi daripada pengetahuan ayah. Beralih kepada majalah Remaja ketika usia 11 tahun. Pembacaan berubah kepada novel cinta pada usia 12 tahun daripada pinjaman akak ke atas temannya. Pembelian novel cinta pertama ketika di tingkatan dua dengan tajuk Cinta Marissa dan seingat aku novel terakhir aku baca sebelum ketidakpedulian yang panjang terhadap budaya membaca adalah novel Adam dan Hawa ketika sekitar tingkatan 4 atau 5 ketika itu juga aku ada mengumpul buku-buku motivasi H.M Tuah Iskandar. Genre bacaan aku mengalami revolusi berterusan. Setelah tamat SPM masa berlalu terlalu pantas sehingga aku menjadi tidak peduli tentang buku dan baca.
Sampailah satu masa ketika aku terlalu enak dengan manusia, aku ditinggalkan mereka menjadi seorang manusia malang yang kasihan. Dan ketika itu tanpa arah tujuan cuba kembali mencari kekuatan untuk sendirian. Bertemu dengan buku yang tak mungkin aku dapatkan di kedai buku seberang jalan. Memulakan kembali pembacaan dengan buku poket 'Nyaman Si Puding Roti' , 'Kasut Biru Rubina' dan 'Matanya Teleskop Hatinya Kapal Dalam Botol Kaca' .
Aku kembali kepada keghairahan aksara yang dijilidkan dan tanpa mampu dilawan versi digitalnya. Mengenali Zine, Sperma Cinta, Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia yang memperkenalkan aku kepada sejarah kehebaran FAM sebagai bahan rujuk Pengurusan Bola Sepak Jepun yang sudah pun berjaya ke Piala Dunia 2014, Awek Chuck Taylor diawal penerbitannya Saat lejen Press baru ditubuhkan sekitar Julai 2011, Cekik naskah paling bebas pernah aku baca sejak menginjak dewasa Terbitan Buku Fixi, Novel-novel cinta yang masih mampu membuai ketika itu. Tidak lupa tentang pencarian Utopia Trauma kerana kegilaam terhadap Kami The Movie juga naskah istimewa Buku Untuk Filem : Kami The Movie dengan nombor 847 daripada hanya 1000 terbitan dikeluarkan. Terbitan 2008 dalam pencarian ketika 2011. Terima kasih Badger kerana merealisasikan impian (Ha Ha Ha). Jika Yuna punya lagu disetiap gambarnya, aku punya cerita disetiap buku ku. Jika mahu disebut satu persatu, aku yakin kau tak akan mampu untuk baca dan tetap berjaga.
Melebar sayap pembacaan buku Inggeris, yang seingat aku buku pertama berbahasa Inggeris berjaya aku habiskan adalah The Last Lecture buku yang sepatutnya digunakan sebagai teks salah satu subjek dalam pengajian. Buku yang menjadi pemangkin kepada pemilihan buku-buku berbahasa Inggeris dalam koleksi rak buku seperti koleksi tulisan Cecelia Ahern dan Mitch Albom disamping koleksi buku antologi puisi.
Kemudian, merevolusi ke satu genre baru lagi daripada fiction kepada non-fiction. Genre yang membuat aku jadi lebih rakus terhadap pembacaan. Buku seperti Telling It Straight, Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang, Buku-buku travelog, Biografi, Politik dan sosial. Banyak daripada koleksi yang aku beli masih belum sempat diratah isinya.
Semakin lama kegilaan ini menjadi. Sehingga aku sering telagah sama perasaan sendiri, mahu tidur atau mahu menyelak helai-helai lain lagi. Kegilaan ini adalah satu yang tak mampu dibendung. Ribuan ringgit daripada elaun yang diperolehi sepanjang tempoh pengajian aku habiskan buat memenuhi rak-rak dan kotak-kotak dengan koleksi pelbagai genre.
Untuk itu, terima kasih aku ucapkan buat sosok-sosok yang pernah meninggalkan, meminggirkan, menghindar, menjauhi dan membiarkan aku sendiri. Sesungguhnya segala kesunyian itu telah memperkenalkan aku sama teman yang lebih ramai dan keluarga yang lebih besar. Sesungguhnya kecintaan pada buku ini buat aku rasa lebih dicintai. Terima kasih semua atas segalanya kerana buat aku sedar yang saat itu, saat sedang ramai aku sebenarnya sendiri dan teramat rugi. Kebergantungan pada manusia menjadikan aku seorang yang lemah, kosong, tanpa nilai. Terima kasih kerana menyedarkan.
Sesungguhnya kesunyian yang pernah diberikan saat itu, menjadikan seorang yang begini. Yang tidak gusar pada sendiri kerana punya 'teman' yang lebih ramai menjadikan aku seorang yang lebih bernilai. Keluar dari kotak dan menyentuh tiap inci yang berada di dunia secara sedikit demi sedikit. Terima kasih sekali lagi. Baca juga banyak merubah cara fikir dan tulis aku. Sehingga saat ini, semakin banyak yang aku baca semakin aku rasa cita-cita menulis aku kian menjauh. Kerana, menulis perlukan sesuatu yang lebih hebat daripada imaginasi. Penulis perlukan tanggungjawab. Tapi aku akan pastikan cita-cita aku tak akan henti sebagai sebuah angan-angan atau khayalan,
Pesan aku, bacalah sesungguhnya kau tidak akan rugi. Setiap orang adalah pembaca cuma mungkin kau belum jumpa bacaan untukmu. Bacalah walau sedikit, walau sebaris ayat walau satu kolum kecil diruang surat khabar atau sekadar tajuk-tajuk akhbar. Pembacaan akan buat kita sedar tentang banyak hal yang tidak kita tahu. Lalu membangkitkan usaha untuk menjadi lebih baik.
Bacalah. Aku sedih melihat persekitaran di mana kita lebih takut kelihatan bodoh ketika bergaya dan berteknologi daripada kelihatan bodoh ketika berkata-kata dan berpelakuan.
Membaca Minda Tertawan dan La Tahzan, Terasing ada banyak yang bermain difikiran, nanti aku cuba kongsikan. Malam sudah lewat aku perlu cuba tidur. Esok perlu kerja keras. Perlu lebih disiplin. Insomnia masih mengganggu dan siang tadi seharian mata mahu terpejam. Melawan hukum alam, badan sering mahu lakukan berontakan. Tidak boleh beri muka lagi. Perlu lawan. Kuat!
P/S ;
Narsistic.
Mungkin perlu ditambah dalam senarai 'About Me' di mana-mana.
Damn
Comments