#NotaH18
Isu sosial dan pendidikan adalah saling berkait.
Rencamnya organisasi sosial adalah disebabkan pincangnya institusi pendidikan.
Aku memandang tinggi pada pendidikan di Indonesia.
Walaupun mereka keterbelakang dari pendidikan rendah tetapi pendidikan peringkat tinggi mereka berjaya melahirkan ilmuan dan golongan intelektual.
Kedudukan Indonesia dalam penilaian oleh TIMSS dan PISA ada sekitar tempat 60 daripada 73 buah negara.
Tetapi diperingkat tinggi mereka mampu melahirkan ilmuan yang menghasilkan pelbagai jenis buku. Jika nak dibandingkan buku ilmiah yang dikeluarkan oleh Malaysia dan Indonesia sangat jauh bezanya. Sumber-sumber tulisan di Internet juga jelas menunjukkan bahawa penulisan mereka lebih banyak sumbernya. (Aku akan cuba cari statistik untuk dua isu ini)
Lebih hebat lagi sekitar tahun 80-an, Indonesia berjaya menerbangkan kapal terbang ringannya sendiri, hasil usaha B,J Habibie yang juga merupakan bekas Presiden Indonesia.
Apa yang mahu aku ketengahkan di sini adalah tentang kualiti serta kuantiti institusi pendidikan dan kesan terhadap individu yang dilahirkan.
Di Indonesia tidak ramai yang mendapatkan pendidikan awal berbanding di Malaysia yang mewajibkan persekolahan kepada semua kanak-kanak berusia 7 tahun sehingga 15 tahun secara percuma.
Tetapi di akhir tangga penerolehan pendidikan Indonesia lebih berjaya cumanya mereka di sana kurang ruang pekerjaan dek ramai penduduk dan mungkin atas sebab lain yang menyebabkan mereka terpaksa bekelana ke Malaysia menjadi buruh kasar. Ada dikalangan mereka yang menjadi buruh di sini merupakan pemegang ijazah dan sarjana dalam bidang-bidang kritikal.
Misalnya, pensyarah aku ada cerita tentang seorang warga Indonesia yang diupah untuk membina rumahnya, merupakan seorang graduan sarjana dalam bidang geologi, mampu untuk menjelaskan jenis tanah, aspek keselamatan yang perlu diambil kira dan meramalkan kebarangkalian yang berlaku bagi struktur tanah di situ dengan jelas dan baik sekali. Contoh yang menunjukkan tentang bahawa ilmu itu dikuasai di fikiran bukan di meja peperiksaan atau sekadar lesen bergraduat.
Aku tertarik melihat filem seperti Laskar Pelangi, Negeri 5 Menara, Alangkah Lucunya Negeri Ini dan banyak lagi filem Indonesia yang mengenengahkan isu pendidikan luar biasa bersama falsafah kehidupan yang padat. Berbeza dengan cerekarama yang ditayangkan sempena Hari Guru di stesen televisyen Malaysia yang ruang lingkup cerita tentang guru bergosip di bilik guru. Murid bergaduh, dan isu-isu remeh yang terlalu klise.
Di saat Indonesia berjaya menterjemah buku-buku luar ke dalam bahasa mereka, juga melahirkan buku-buku ilmiah dengan banyaknya kita masih lagi dalam perbincangan sekitar relevensi Bahasa Inggeris tentang di mana letaknya Bahasa Melayu. Tugas siapa menterjemah. Siapa harus memberi ketetapan.
Satu wacana bahasa dianjurkan di institusi aku belajar. Menariknya yang hadir memberi wacana adalah orang besar peringkat tertinggi sebuah organisasi bertanggungjawab menerbitkan buku teks sekolah. Wacana untuk kali pertama aku sedia mendengarkannya. Jadi aku semangat. Wacana tentang Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Institusi Perkhidmatan Awam. Pada akhir sesi telah dibuka ruang untuk soal jawab. Aku yang begitu semangat kerana berkesempatan bertemu dengan orang hebat bertanyakan soalan tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, yang menjadi pertikaian aku adalah bagaimana Bahasa Melayu mampu diberi kepercayaan sebagai bahasa ilmu jika, di peringkat pengajian tinggi bahasa pengantar utama adalah Bahasa Inggeris, bahan-bahan rujukan juga dalam Bahasa Inggeris. Apakah Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu cukup sekadar melalui pemerkasaan bahasa di peringkat Sekolah Rendah dan menengah? Itupu di sekolah jenis kebangsaan bahasa ibunda masih menjadi bahasa pengantar.
Jawapan yang diberikan adalah sangat mengecewakan, menyatakan bahawa tugas menterjemah tak mampu dibebani mereka lalu satu institut penterjemahan ditubuhkan untuk tujuan diterjemah. Secara gah menceritakan tentang sub institusi ini merupakan penyelesaian yang mereka ambil sebagai usaha untuk memperbanyakkan sumber. Malangnya itu bukan jawapan yang aku mahunkerana sedari awal aku dah tahu kewujudan institut tersebut, bahkan menjadi pengikutnya dan aku tahu jenis terjemahan yang bagaimana dihasilkan mereka lebih bersifat sastera dan bukan pada naskah yang digunakan dalam institusi pengajian tinggi. Antara jawapan lain yang aku sifatkan sebagai alasan adalah,
-menjadi ketetapan universiti untuk menggunakan bahasa Inggeris wajib.
-seharusnya menjadi tugas pensyarah atas inisiatif sendiri untuk menulis bidang pengajian mereka.
Jawapan diatas ini seolah menyatakan bahawa ketetapan yang diletakkan merupakan mandatori dan sebuah nasib yang tak mampu diubah.
Cuma masih ada usaha yang dilakukan oleh organisasi ini antaranya ialah memperkenalkan skim penerbitan buku oleh golongan profesional. Baik, mari kita lihat hasilnya nanti. Aku doakan ia berjaya.
Kembali kepada hal kualiti dan kuantiti pendidikan, aku mahu cuba cari statistik jumlah universiti dan enrolmen pelajar bagi negara kita dan negara Indonesia mungkin nanti lebih jelas membuktikan Hipotesis aku tentang tahap intelektual sesebuah masyarakat tidak terkesan dengan kuantiti institusi pendidikan yang disediakan. Semakin banyak institusi pendidikan tidak menjamin peningkatan taraf intelektual masyarakat. Nanti aku akan cuba cari dan kongsikan di sini. Atas sebab ini aku sebenarnya menolak usaha menjadikan pendidikan itu percuma dan ruang pendidikan itu dibebaskan. Bukan atas dasar aku tak mahu masyarakat kita berpendidikan tetapi kerana aku tahu masyarakat kita bagaimana, dan pada aku kesenangan tak akan memberi pengajaran yang baik terhadap manusia. Peluang masih terbuka tetapi hanya untuk yang benar-benar berhak dan mahukannya.
Comments